Setelah dua kali melakukan rombakan terhadap kesebelasan utama PKNS, pengendalinya, E. Elavarasan, seperti sudah menemui formula barisan terbaiknya selepas kejayaan mengalahkan Selangor 5-3 minggu lalu.

Kehadiran pemain import, Lucas Espindola, selain persefahaman Patrick Ronaldinho dan Safee Sali ternyata banyak membantu PKNS bangkit daripada kekalahan dua kali berturut-turut sebelum itu.

Justeru, Elavarasan tidak perlu lagi memerah otak bagi mencari kesebelasan terbaik dalam aksi menentang Perak bagi memburu tiga mata kedua musim ini.

Dia mungkin hanya melakukan perubahan terhadap satu atau dua pemain bagi mengimbangi kekuatan lawan.

"Pada masa sekarang, kami akan mengekalkan gandingan Patrick dan Safee tetapi saya mungkin melakukan perubahan di bahagian tengah," ujarnya.

Elavarasan meramalkan aksi menentang Perak pada Sabtu sukar dijangka memandangkan sejarah pertemuan kedua-dua pasukan sentiasa sengit, apatah lagi lawan masih belum tewas selepas tiga perlawanan setakat ini.

"Dalam pengalaman sebelum ini, Perak bukan pasukan yang mudah menyerah kalah. Mereka akan bertarung sehingga tamat 90 minit.

"Dengan kedudukan mereka di kelompok atasan liga, saya rasa kami akan berdepan aksi yang menarik," tambahnya.