Pemain tengah Barcelona, Denis Suarez, tidak menerima apa-apa tawaran daripada Napoli, kata ejennya.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang bergelut untuk mengukuhkan tempatnya dalam pasukan utama sejak kembali ke Camp Nou, Julai lalu, menjadi punca spekulasi perpindahan pada akhir musim ini.

Khabar angin mengenai minat Barca untuk menandatangani Isco dari musuh ketat, Real Madrid, menambahkan lagi keraguan terhadap mengenai masa depan Suarez, dengan Maurizio Sarri dikatakan berminat untuk memikatnya ke San Paolo.

Bagaimanapun, wakil pemain, Felix Grande, berkata Suarez hanya mahu berjuang untuk tempat di Barca.

"Kami tidak dihubungi, baik oleh Napoli atau mana-mana kelab lain," katanya kepada Radio CRC.

"Denis (Suarez) melakukan tugas dengan amat baik di Barcelona, dia mempunyai kontrak di sana selama lima tahun. Dia berkembang dalam beberapa bulan lalu.

"Walaupun dia bukan dalam kesebelasan utama, dia sering terlibat dalam perlawanan.

"Ia jelas bahawa semua pemain mahu bermain lebih, tetapi ini adalah tahun penuh pertamanya di Barcelona dan ia adalah laluan untuk diikuti. Tahun depan dia pasti akan mempunyai lebih banyak ruang."