Penyerang AS Roma, Edin Dzeko, berjenaka apabila menyifatkan diri dan pasukannya lega apabila menolak tawaran menyertai Chelsea pada Januari lalu, yang membolehkannya membantu pasukan dari Itali itu melayakkan diri ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, musim ini.

Bekas penggempur Manchester City itu menjalankan tugas dengan baik apabila membuka tirai jaringan di Stadium Olimpico sebelum mendapatkan sepakan penalti yang membawa kepada gol kedua.

Skuad Giallorossi itu sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi separuh akhir pertama di peringkat Eropah sejak musim 1983/83 dan Dzeko gembira menjadi sebahagian daripada kejayaan itu.

"Ia tidak mudah tetapi saya kekal di sini dan gembira untuk bersama Roma. Saya rasa pasukan juga lega. Wang bukan soal utama.

"Ini adalah aksi terbaik tetapi kami bakal tampil lebih bagus. Ia menjadi bukti bahawa kami mampu menentang sesiapa sahaja memandangkan Barca adalah lawan yang kuat. Kami menjaringkan tiga gol bertemu mereka dan mampu menambah lagi.

"Saya tidak pernah melihat Barca bergelut seperti itu. Kami memberi tekanan kepada mereka sejak daripada awal aksi," kata Dzeko.

"Saya berharap kami dapat ke final.

"Tiada siapa yang percaya kami mampu layak ke separuh akhir buat kali pertama dalam era Liga Juara-Juara. Saya amat gembira melihat Roma berada dalam kelompok empat terbaik," tambahnya.