Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, masih membuat pertimbangan untuk menurunkan penyerang The Bos Gaurus, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, atau tidak dalam saingan Liga Super berdepan Kelantan, esok.

Zaquan, yang mengalami kecederaan pangkal paha sewaktu aksi menentang Felda United, Sabtu lalu, mungkin terpaksa berehat buat seketika.

Bagaimanapun, Durakovic tidak menganggap kecederaan itu serius dan masih menilai keadaan sebenar bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu sebelum memutuskan dia mampu beraksi atau tidak.

"Zaquan tampak tiada masalah, kami akan terus memantau perkembangannya dalam sesi latihan pada malam ini.

"Seperti pemain-pemain lain juga, saya akan menilai sesi latihan malam ini bagi menentukan kesebelasan utama untuk perlawanan esok," katanya.

Biarpun masih terlalu awal untuk menilai kemampuannya mengendalikan Perak, Durakovic tetap berharap pertembungan anak buahnya dengan Kelantan mampu memberikan keputusan positif.

Bekas pengendali Selangor itu, bagaimanapun, enggan barisan pemainnya mengambil kesempatan di atas tekanan yang menghimpit Kelantan selepas tewas tiga kali berturut-turut kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku jika mereka bersikap terlalu mengambil mudah.

"Dalam bola sepak Malaysia, mana-mana pasukan boleh dikalahkan.

"Anda perlu fokus sepanjang 90 minit permainan. Mana-mana pasukan yang mempunyai elemen ini dan berjuang untuk pasukan, mereka akan beroleh kemenangan.

"Tiada pasukan yang boleh dianggap mudah, terutama pasukan yang bergelut di zon bawahan."