Pengembaraan ke pentas tertinggi Asia menjadi aspirasi peribadi ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Misi ke Piala Asia 2023 akan bersandarkan kepada falsafah sama dengan menyaksikan rakyat Malaysia jatuh cinta semula dengan Harimau Malaya.

Cheng Hoe menerima kontrak dua tahun sehingga penghujung tahun depan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan dua misi penting.

Yang pertama ialah ke final Piala Suzuki AFF 2020 dengan misi tambahan untuk muncul juara.

Misi kedua pula ialah layak ke Piala Asia 2023.

Cheng Hoe percaya Malaysia memiliki pemain yang berupaya untuk mendukung aspirasi itu.

"Sudah pasti ia akan menjadi cabaran buat saya.

"Secara peribadi, saya juga meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Asia.

"Malaysia mempunyai ramai bakat muda yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan pada masa akan datang.

"Apa yang penting, mereka perlu kerap diturunkan dalam Liga Malaysia," katanya.

Dalam laluan ke final Piala Suzuki AFF 2018, falsafah taktikal Cheng Hoe bersandarkan kepada gaya hantaran pendek, berdisiplin ketika bertahan dan semangat juang tinggi, berupaya membuatkan peminat tanah air berasa teruja.

Dia menegaskan falsafah itu akan terus diperincikan sehingga menjadi identiti baru yang sinonim dengan nama Harimau Malaya.

"Falsafah permainan itu akan dikekalkan dan saya berharap setiap pemain yang akan dipanggil nanti boleh menyesuaikan diri dengan pendekatan itu.

"Saya pasti mereka juga akan bekerja keras dalam memastikan skuad negara berada di landasan yang tepat untuk berada di tahap tertinggi," tambahnya.

Sementara itu, FAM akan memainkan peranan proaktif dalam membantu Cheng Hoe.

Ia termasuk mengatur perlawanan persahabatan yang lebih berkualiti untuk meningkatkan ranking dunia.

Ketika ini, Malaysia berada di tangga ke-167 dunia di bawah seteru Asia Tenggara lain seperti Vietnam (100), Filipina (116), Thailand (118), Indonesia (159) dan Singapura (165).

"Jika skuad kebangsaan berjaya menjuarai Piala AFF dan layak ke Sukan Asia, ranking dunia Malaysia akan meningkat secara automatik.

"Namun, dalam aspek perlawanan persahabatan pula, ia agak subjektif dan kami akan berusaha untuk mendapatkan perlawanan yang lebih berkualiti," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Satu lagi elemen penting adalah penambahan kudrat pemain naturalisasi dan pemain berstatus warisan bagi memperkasakan skuad kendalian Cheng Hoe pada masa akan datang.

"Banyak negara di Asia telah mula menggunakan kuota import Asean dalam liga mereka.

"Kami tidak mahu pengambilan pemain naturalisasi nanti akan dijadikan pasport untuk pemain-pemain itu beraksi dalam liga negara berkenaan.

"Kami perlu menilai keikhlasan dan impak positif yang mampu dibawa mereka dalam skuad kebangsaan," tambahnya.