BORUSSIA DORTMUND 4 BENFICA 0
(Dortmund mara dengan agregat 4-1)

Pengendali Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, mendedahkan pasukan bimbingannya sempat menonton aksi penghujung perlawanan kemenangan epik Barcelona ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam suasana berpesta.


Gergasi LaLiga itu memadam defisit gol 4-0 dalam pertemuan pertama dengan merakamkan kemenangan 6-1 untuk mara dengan agregat 6-5 menerusi dua gol Neymar pada penghujung perlawanan dan gol kemenangan dramatik Sergi Roberto pada minit ke-95 di Nou Camp.

Tuchel berkata Dortmund sempat menonton aksi penghujung perlawanan itu sehingga menenggelamkan kemenangan pasukannya.

"Kami begitu gembira apabila melangkah ke dalam bilik persalinan selepas meraih kemenangan 4-0," katanya.

"Keputusan (Barca-PSG) pada masa itu adalah 4-1, tapi ia menjadi 5-1 dengan tempoh permainan berbaki dua minit lagi.

"Kami berdiri bagaikan kami terlibat dalam perlawanan itu, semuanya dalam keadaan suasana berpesta. Kami mengikuti saat-saat akhir perlawanan di kaca televisyen.

"Tiba-tiba, semua orang datang menyertai kami untuk menonton perlawanan terbabit. Semua orang berasakan Barca akan menjaringkan satu gol lagi.

"Apabila ia berlaku, suasananya menggila. Sebelum itu, kami menyangka kemenangan kami adalah berita lebih menarik.

"Berbanding perlawanan itu (Barca-PSG), kejayaan kami adalah membosankan.

"Kalau ada pasukan yang boleh melakukannya, ia adalah Barcelona. Tahniah di atas pencapaian menakjubkan ini."

Pierre-Emerick Aubameyang muncul wira Dortmund apabila meledak hatrik untuk memimpin skuad bimbingan Tuchel itu meraih kemenangan dalam pertemuan kedua di Signal Iduna Park.