HAMBURG SV 0 BORUSSIA DORTMUND 3

Borussia Dortmund terus mempamerkan prestasi cemerlang musim ini selepas menewaskan Hamburg SV 3-0 untuk meletakkan diri di tangga teratas Bundesliga selepas lima perlawanan.


Beraksi di tempat lawan, skuad kendalian Peter Bosz itu turun dengan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini selepas menewaskan Wolfburg, Hertha Berlin dan FC Koln serta diikat seri tanpa jaringan ketika menentang SC Freiburg dalam aksi terdahulu.

Pemain tengah Jepun, Shinji Kagawa, melakukan penampilan pertama musim ini buat Dortmund dan bekas pemain Manchester United itu tidak menunggu lama untuk memberikan impak kepada perlawanan apabila menjaringkan gol pembukaan pelawat pada minit ke-24.

Walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, Dortmund gagal menambah jaringan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, sebaliknya pelawat berjaya menambah gol kedua menerusi penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang.

Serangan balas pada minit ke-63 daripada pemain tengah, Nuri Sahin, berjaya membuka ruang buat Andriy Yarmolenko sebelum pemain Ukraine itu melakukan hantaran leret untuk disudahkan Aubameyang bagi meletakkan Dortmund selesa mendahului 2-0.

Pemain muda Amerika Syarikat, Christian Pulisic, terus menambah derita Hamburg apabila mencipta jaringan ketiga Dortmund pada minit ke-79 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu juga menyaksikan gawang Dormund masih belum dibolosi selepas lima perlawanan dan berbekalkan 13 gol, Dortmund gah di takhta liga dengan 13 mata.