Bekas pemain Real Madrid, Angel Di Maria, mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai masalah bermain untuk pesaing LaLiga, Barcelona.

Di Maria menghabiskan empat musim di Santiago Bernabeu dan memenangi pelbagai trofi, termasuk LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain antarabangsa Argentina itu menyertai Manchester United sebelum tiba di kelab semasanya, Paris Saint-Germain (PSG), pada 2015.

Walaupun memiliki sejarahnya di Madrid, Di Maria, 29, berkata dia akan bermain untuk Barca jika peluang itu muncul.

"Hubungan saya dengan Madrid selesai kerana tempoh saya di sana sudah berakhir," katanya kepada So Foot.

"Terus terang, saya tidak ada masalah bermain di Barca.

"Satu-satunya kelab yang saya tidak boleh bermain adalah Newell's Old Boys kerana saya peminat Rosario Central," ujarnya.

Di Maria dan PSG akan menghadapi Madrid dalam Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.