Pengendali AS Roma, Eusebio Di Francesco, yakin penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, bakal bergelar penjaga gol terbaik dunia.

Alisson menikmati musim yang hebat di Stadium Olimpico musim lalu, termasuk membawa Roma mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum ditundukkan Liverpool dan menamatkan saingan Serie A di tempat ketiga.

Prestasi yang memukau membolehkannya meraih tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Brazil dalam Piala Dunia dan disusuli perpindahan ke Liverpool, menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris itu mencipta rekod dunia yuran perpindahan sewaktu membawa masuk pemain berusia 25 tahun itu ke Anfield.

Roma menandatangani Robin Olsen sebagai pengganti, namun setelah mengesahkan akan menggunakan khidmat penjaga gol Sweden itu dalam kesebelasan utama untuk aksi berdepan Torino malam ini, Di Francesco mengakui sukar untuk mencari pengganti Alisson.

"Pilihan sudah dibuat berdasarkan beberapa situasi," katanya.

"Bukan mudah untuk mencari pengganti Alisson, pemain yang bakal muncul sebagai penjaga gol terbaik dunia. Robin membuktikan kualiti yang dimiliki ketika Piala Dunia, dia telah bersedia dan akan beraksi malam ini.

"Banyak kelab di bawah kedudukan kami yang telah melalui perubahan tetapi secara keseluruhan, Serie A telah meningkat. Masa akan menentukan sama ada Roma turut berkembang.

"Terdapat pemain penting yang meninggalkan pasukan dan ada pemain baru. Saya berpuas hati. Masih ada masa untuk menjual sesetengah pemain, begitu juga yang akan masuk."