Pengendali Perancis, Didier Deschamps, sedar pemain-pemainnya lebih fokus dengan aksi bersama kelab masing-masing, namun dalam masa sama berpuas hati apabila pasukannya menundukkan Russia 3-1, awal pagi tadi.

Selepas permulaan yang agak perlahan di Saint Petersburg, Perancis meraih kemenangan menerusi dua gol Kylian Mbappe dan satu jaringan hasil sepakan percuma bintang tengah, Paul Pogba.

Situasi itu membuatkan Deschamps berpuas hati melihat kebangkitan anak-anak buahnya, terutama selepas dikecewakan 3-2 oleh Colombia sebelum ini walaupun memiliki kelebihan dua gol di awal permainan.

"Kami menjaringkan tiga gol, jadi tidak kira apa corak permainan, kami mencipta peluang," kata Deschamps apabila mengulas perubahan formasi daripada 4-2-3-1 kepada 4-3-3.

"Kami melakukan beberapa kesilapan dalam babak kedua sehingga melepaskan satu gol. Walaupun tidak melakukannya dengan sempurna, ini adalah detik di mana setiap pemain berdepan banyak perlawanan dan sasaran yang perlu dicapai," katanya.

Dalam masa sama, dia juga menyatakan kekaguman terhadap aksi tuan rumah Piala Dunia 2018, Russia, selepas menunjukkan peningkatan prestasi susulan kekalahan 3-0 di tangan Brazil, minggu lalu.

"Mereka beraksi baik dengan permainan sendiri. Terdapat beberapa aspek yang berkualiti, termasuk komitmen yang tinggi," tambahnya.

Aksi menentang Russia juga menyaksikan Mbappe menjadi pemain termuda yang menjaringkan dua gol buat Perancis, membuatkannya gembira dengan persembahan ditampilkan.

"Ia bagus, saya gembira tetapi apa yang penting adalah kemenangan pasukan.

"Saya tidak hiraukan rekod tetapi berasa baik kerana beraksi di samping pemain hebat seperti Ousmane Dembele dan Anthony Martial," ujar Mbappe.