Bekas jurulatih Sepanyol yang memenangi Piala Dunia, Vicente del Bosque, menggesa Gerard Pique untuk terus mewakili negaranya selepas Piala Dunia 2018 dan bukannya bersara daripada bola sepak antarabangsa seperti yang dirancang.

Pada Oktober lalu, Pique mengumumkan dia akan berhenti bermain untuk Sepanyol sebaik selepas Piala Dunia di Russia apabila berasa bosan dengan kritikan yang menuduhnya sebagai pro-Catalan.

Bek tengah Barcelona itu juga sering diejek oleh penyokong Sepanyol semasa perlawanan.

Del Bosque memberi peluang kepada Pique untuk membuat penampilan pertama bersama Sepanyol pada 2009 dan membimbing pasukan untuk meraih kejayaan dalam Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Jurulatih berusia 66 tahun itu mahu melihat bekas pertahanan Manchester United berkenaan terus bermain.

"Pemain berhak untuk membuat keputusan bila mereka mahu mengundur diri," katanya. "Tetapi saya akan beritahu dia agar teruskan."

Del Bosque juga mengulas ringkas mengenai tempohnya sebagai pengurus dan walaupun legenda Real Madrid itu berjanji untuk tidak akan melatih Atletico Madrid atau Barca, dia akhirnya menjalin hubungan yang utuh dengan dua pasukan itu ketika mengendalikan Sepanyol.

"Apabila saya bersara sebagai pemain, saya katakan bahawa saya tidak akan melatih Atletico Madrid atau Barcelona," katanya.

"Dan sebenarnya mereka adalah dua kelab yang menjalin hubungan baik dengan saya (dalam aspek melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa)."