Presiden Boca Juniors, Daniel Angelici, percaya perjanjian di antara kelab itu dan bekas ikon AS Roma, Daniele de Rossi, sudah hampir dimeterai.

Pengarah Sukan, Bicolas Burdisso, mendedahkan keinginannya untuk melihat De Rossi menyertai Boca selepas meinggalkan kelab sejak zaman remajanya, Roma.

Dan ketika media di Itali melaporkan pemain itu akan bersara, spekulasi untuk dia menyertai gergasi Argentina itu mula bertiup kencang.

Angelici berharap perjanjian itu akan dimutlakkan secepat mungkin dengan mendakwa ia sudah 99 peratus berjaya.

"Perbincangan untuk mendapatkan De Rossi sedang berjalan lancar," katanya kepada TyC Sports.

"Dalam beberapa hari lagi, dia akan berlepas ke Buenos Aires.

"Daniele sudah 99 peratus pemain Boca.

"Untuk memiliki juara dunia yang mahu menamatkan kariernya di sini, ia memberikan saya kebanggaan.

"Amat bagus buat bola sepak Argentina untuk memiliki pemain seperti ini," katanya.

De Rossi berkemungkinan akan menggantikan bintang Uruguay, Nahitan Nandez, yang dilaporkan akan menyertai Cagliari.