Penjaga gol Manchester United, David De Gea, berpuas hati dengan persembahan hebat yang dipamerkannya dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Sevilla, awal pagi tadi.

United mengikat skuad kendalian Vincenzo Montella itu 0-0 di tempat lawan dalam perlawanan yang menyaksikan Sevilla mengawal hampir keseluruhan aksi, namun gagal menembusi gawang yang dikawal De Gea.

Dia menggagalkan dua usaha Luis Muriel dalam babak pertama, termasuk tandukan dari jarak dekat yang pasti memberikan kenangan pahit buat penyerang Colombia itu.

"Halangan itu adalah pada minit terakhir babak pertama, jadi tentunya ia menjadi detik terpenting.

"Saya dapat menghalangnya dan berasa sangat gembira," katanya.

"Bagi saya, Sevilla mempunyai lebih banyak peluang berbanding kami. Kami bertahan dengan baik walaupun mereka lebih menguasai perlawanan.

"Peluang masih terbuka dan kami akan berentap sekali lagi di Old Trafford," tambah De Gea.

Dalam aksi di Roman Sanchez Pizjuan itu, United hanya meraih satu percubaan tepat dan situasi itu membuatkan pertahanan Red Devils, Chris Smalling, menyifatkan aksi kedua di laman sendiri sangat penting.

"Selepas De Gea melakukan halangan hebat dalam babak pertama, lawan kurang mendapat peluang dalam separuh masa kedua. Kini segalanya terpulang kepada kami dalam aksi di Old Trafford nanti.

"Keputusan hari ini memberikan keyakinan kepada kami," ujar Smalling.