De Gea? Jika saya di Real Madrid, saya fikirkan pemain lain -- Mourinho

By Staff Writer 13 March 2018 11854
De Gea? Jika saya di Real Madrid, saya fikirkan pemain lain -- Mourinho
Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memberitahu Real Madrid untuk melupakan hasrat menandatangani penjaga gol bintangnya, David de Gea, dan menasihati juara Sepanyol dan Eropah itu agar mencari di tempat lain.

Madrid sudah lama berminat terhadap pemain antarabangsa Sepanyol, De Gea, yang hampir menyertai gergasi La Liga itu pada pertengahan 2015.

Bekas penjaga gol Atletico Madrid berusia 27 tahun itu -- yang diikat United sehingga 2019 -- terus dikaitkan dengan skuad Zinedine Zidane itu.

Bagaimanapun, Mourinho yakin De Gea akan kekal berada di Old Trafford melepasi musim ini.

"Saya rasa dia akan kekal," kata Mourinho kepada La Sexta menjelang pertemuan Liga Juara-Juara dengan Sevilla, awal pagi esok.

"Saya tidak tahu apa niat Real Madrid tetapi jika saya bersama mereka, saya akan memikirkan pemain lain."

De Gea menikmati satu lagi musim cemerlang bersama United, mengekalkan rekod bersih sepanjang 15 aksi Liga Perdana Inggeris penggal ini bagi membantu skuad Mourinho itu menduduki tangga kedua di belakang peneraju, Manchester City.

United akan menerima kunjungan Sevilla di Manchester selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

De Gea memperagakan persembahan hebat di Seville, dengan menafikan tandukan Luis Muriel dalam aksi bulan lalu.

About Author

Staff Writer

Comment