David de Gea dan Kepa Arrizabalaga mungkin berkongsi jersi nombor satu skuad kebangsaan Sepanyol dengan tiada jaminan buat kedua-dua pemain itu diberikan tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Robert Moreno.

Penjaga gol Chelsea, Arrizabalaga, telah beraksi dalam setiap aksi antarabangsa sejak bekas pengendali, Luis Enrique, menyerahkan tugasnya kepada pembantunya, Moreno, Mac lalu.

Bintang Manchester United, De Gea, sebelum ini merupakan pilihan utama tetapi aksi hambar dalam saingan Piala Dunia dan kelab musim lalu menurunkan kebarangkaliannya untuk dipilih dalam kesebelasan utama.

Sepanyol kembali dalam saingan kelayakan Euro 2020, September ini dan bakal menghadapinya dengan kehadiran dua penjaga gol berkualiti.

"Penjaga gol saya adalah De Gea, Arrizabalaga dan Pau Lopez," kata Moreno kepada Cadena SER.

"Saya gemar menyaksikan persaingan. Arrizabalaga dan De Gea memiliki kualiti yang hampir sama, tiada pemain yang mengatasi antara satu sama lain.

"Saya mahu menghadapi saingan Euro dengan tiga penjaga gol yang sedia untuk diturunkan. Mereka bermain di peringkat tertinggi.

"Di Barca, kami memenangi 'treble' dengan kerap menukar penjaga gol."Di sebalik kekurangan pengalaman sebagai ketua jurulatih, Moreno diberikan mandat untuk melatih pasukan kebangsaan itu secara tetap pada bulan Jun selepas merekodkan tiga kemenangan sebagai pengendali sementara.