Malang menimpa pemain pertahanan bola sepak kebangsaan, Matthew Davies, yang terpaksa melupakan aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan malam esok selepas mengalami kecederaan lutut.

Davies ditimpa kecederaan berkenaan sewaktu sesi latihan di Stadium Hang Tuah semalam yang menyaksikan dia kemungkinan terpaksa berehat selama dua minggu.

Selain Davies, turut disisihkan adalah penyerang, Shahrel Fikri Md. Fauzi, Akram Mahinan serta pemain tengah, Azzizan Nordin.

Kecewa tidak dapat beraksi menentang Kyrgyzstan, Davies berharap rakan sepasukannya dapat mengekalkan rentak positif susulan dua kemenangan ke atas Kemboja dan Sri Lanka sebelum ini.

"Saya berasa sakit semalam dan apabila saya bangun pagi tadi, kesakitan itu bertambah teruk. Kami sudah mempamerkan aksi yang baik sebelum ini dan saya harap momentum itu akan berterusan.

"Ia sentiasa baik untuk memperoleh kemenangan dan saya harap pasukan akan bertambah yakin untuk teruskan rentak tersebut," katanya.

Davies percaya kehadiran rakan sepasukan dalam skuad Pahang, Mohammadou Sumareh, dapat terus memberikan impak tersendiri dalam pasukan negara.

Penampilan pertama pemain kelahiran Gambia itu tidak mengecewakan walaupun masuk sebagai pemain gantian.

Sumareh memperoleh dua jaringan bagi membantu Malaysia melakar kemenangan 4-1 ke atas Sri Lanka di Colombo, Jumaat lalu.

"Saya tahu dia seorang pemain yang baik. Saya sedar kemampuan yang dimilikinya. Dia menerima banyak tekanan sebelun ini, namun dia terus membuktikan nilainya bersama pasukan," tambah Davies.

Sementara itu, penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, beranggapan persaingan kali ini lebih sengit bagi mengisi benteng terakhir pasukan menjelang kempen Piala Suzuki AFF 2018 yang akan berlangsung bulan depan.

Tiga penjaga gol disenaraikan pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sepanjang kem latihan kali ini.

Selain Khairul Fahmi, turut mengintai peluang untuk menjadi benteng terakhir negara adalah penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli, serta Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, daripada pasukan Perak.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi sandaran utama Khairul Fahmi yang merupakan sebahagian daripada skuad juara edisi 2010 di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal.

"Persaingan merebut tempat dalam Piala Suzuki tahun ini sangat sengit. Ia satu perkembangan yang baik buat pasukan dan buat kami selaku penjaga gol. Kami perlu memberikan yang terbaik sewaktu latihan dan perlawanan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama," katanya.