Pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham, mengakui gusar ekoran namanya tercicir untuk menyertai skuad Harimau Malaya pada bulan depan selepas terpaksa berehat tiga minggu akibat kecederaan.

Daniel yang mesra disapa Boy adalah antara pemain muda negara yang menyerlah ketika Kejohanan AFC B-23 di China, bulan lalu.

Namanya dicanang untuk menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe sebelum pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan paha.

Boy belum sempat beraksi pada musim ini dan hanya dijangka kembali pulih sepenuhnya awal bulan depan.

"Memang saya agak kecewa kerana berhajat untuk menyarung jersi kebangsaan tetapi disebabkan kecederaan, aksi saya tidak dapat dinilai dalam saingan liga tempatan," ujar Daniel.

Selain Boy, Akhyar Rashid dan Irfan Zakaria juga tampak memikat Cheng Hoe untuk kedua-duanya diserap sebagai muka baru daripada skuad B-23 negara.

Pasukan Harimau Malaya akan berdepan Lubnan di tempat lawan pada 27 Mac ini untuk perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2019.

"Dalam masa seminggu lagi, saya sudah boleh melakukan latihan ringan. Kemungkinan selepas ini saya dapat menyertai pasukan semula," ujarnya.