Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP Dali Wahid, mencabar pengadil tempatan agar segera memperbaiki kelemahan selepas diberikan contoh jelas oleh Takuto Okabe dalam final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Keterbukaan FAM untuk menampilkan kriteria yang perlu ada dalam diri seseorang pengadil telah diterjemahkan Okabe.

Kini, sudah tiba masanya untuk pengadil tempatan membuktikan mereka juga memiliki kredibiliti yang setanding pengadil luar.

Dali mencabar pengadil tempatan untuk memperbaiki kelemahan, terutama daripada aspek ketegasan dan keyakinan dalam menjatuhkan hukuman di atas padang.

"Saya cabar pengadil-pengadil yang telah menjalani kursus untuk mengendalikan Piala Malaysia supaya melakukan yang terbaik menjelang bermulanya Piala Malaysia, 2 Ogos ini.

"Saya harap kelemahan-kelemahan yang ada itu dapat diperbaiki.

"Contohnya mungkin keyakinan diri kerana daripada segi undang-undang ia sama," katanya.

Beliau turut menegaskan FAM sedang berusaha untuk kembali melahirkan pengadil bertaraf dunia seperti yang pernah dilahirkan sebelum ini.

Antaranya ialah Datuk George Joseph, Nik Ahmad Yaacob, Subkhiddin Salleh dan Allahyarham Mohd Nazri Abdullah.

"Saya secara peribadi menyatakan bukan maknanya pengadil-pengadil yang kita ada sekarang ini mempunyai kualiti yang terlalu rendah.

"Kita ada pengadil-pengadil yang berkualiti.

"Apa yang telah ditunjukkan oleh pengadil dari Jepun itu adalah satu penanda aras yang perlu diikuti untuk membuat penambahbaikan terhadap kekurangan yang kita ada," tambahnya.