Tengku Amirul Haffirudin sedia untuk bangkit menebus kesilapan musim lalu apabila memilih untuk kekal beraksi dalam kategori CP115 bagi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang akan membuka tirai di Temerloh, Pahang, 4 dan 5 Mac ini.

Bagaimanapun, tugas getir menanti pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu memandangkan dia bakal berhadapan dengan juara dan naib juara musim lepas, Mohd Akid Aziz dan Mohd Haziq Fairues (PETRONAS Yamaha Maju Motor), yang juga kekal beraksi dalam kelas itu.

Pada saingan musim lalu, Amirul dilihat sebagai calon pilihan untuk memenangi gelaran apabila selesa mendahului pelumba lain pada awal saingan.

Tetapi dia terpaksa melepaskan gelaran kepada Akid selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan pada penghujung musim.

“Situasi ini jarang berlaku dalam kelas CP115. Selalunya juara akan beralih ke kelas perdana pada musim berikutnya," katanya.

"Tetapi disebabkan pengenalan kategori CP150 pada tahun ini, kebanyakan pasukan memilih untuk menggunakan pelumba yang lebih berpengalaman. Sebab itulah juga saya, Akid dan Haziq kekal dalam kelas CP115.”