CROATIA 2 NIGERIA 0

Croatia memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan langkah kanan setelah menundukkan Nigeria 2-0 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Kaliningrad, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Zlatko Dalic itu mengharungi persiapan Piala Dunia yang tidak begitu cemerlang selepas tewas 2-0 di tangan Brazil dalam aksi pemanas badan pada 3 Jun lalu sebelum menundukkan Senegal 2-1, enam hari kemudian.

Bagaimanapun, apabila menentang Nigeria, ternyata Croatia lebih unggul.

Ivan Perisic harus meletakkan nama dalam senarai penjaring untuk gol pertama perlawanan jika rembatan kaki kanannya pada minit ke-14 tidak terlalu kuat dan melewati palang gol.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba pada minit ke-32 selepas sepakan sudut dari sebelah kanan oleh Luka Modric disambung oleh penyerang, Andrej Kramaric, dengan tandukan terbang dan bola percubaannya terkena Oghenekaro Etebo, sebelum menerjah masuk ke gawang tatkala penjaga gol, Francis Uzoho, hanya mampu melihat.

Empat minit memasuki babak kedua, Nigeria meraih peluang untuk menyamakan kedudukan apabila pemain Chelsea, Victor Moses, melakukan gerakan dari sebelah kanan tetapi rembatan kaki kirinya sedikit tersasar.

Pada minit ke-69, Croatia dianugerahkan sepakan penalti selepas sepakan sudut daripada Modric terkena tangan Leon Balogun dan pemain tengah Real Madrid itu sendiri yang menyempurnakannya untuk meletakkan pasukannya dalam keadaan selesa 2-0.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan Croatia meletakkan diri mereka di tangga teratas Kumpulan D selepas Argentina dan Iceland sekadar seri 1-1, semalam.