Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, berkemungkinan tidak dapat menurunkan Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele dalam aksi final Copa del Rey.

Juara LaLiga, Barca, akan berdepan Valencia, Sabtu ini dan berharap untuk mengakhiri musim dengan dua gelaran domestik.

Tetapi Coutinho dan Dembele kelihatan bakal terlepas perlawanan tersebut selepas tidak terlibat dalam perlawanan berdepan Eibar yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Coutinho mengalami kecederaan hamstring ketika menewaskan Getafe 2-0, 12 Mei lalu, manakala Dembele turut menghadapi masalah sama sejak awal bulan ini.

Mereka dijangka terlepas aksi final Copa, namun Valverde bakal dapat menurunkan semula penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, yang pulih daripada kecederaan lutut.

"Kami memiliki beberapa masalah dalam menurunkan pemain utama dan kami menjangkakan sebilangan besar akan kembali pulih dan dapat beraksi untuk perlawanan seterusnya," kata Valverde.

"Ter Stegen bakal diturunkan berdepan Valencia. Coutinho dan Dembele, saya tidak pasti mereka sempat pulih ataupun sebaliknya.

Barca turut kehilangan khidmat Nelson Semedo kerana mengalami kecederaan lutut di Ipurua dan pertahanan kelahiran Portugal itu telah dibawa ke hospital.

"Saya tidak memiliki sebarang berita mengenai Semedo," kata Valverde. "Kami berharap dia hanya mengalami kecederaan ringan."