VALENCIA 0 BARCELONA 2

Barcelona meneruskan usaha untuk mempertahankan gelaran selaku juara Piala Raja Sepanyol apabila menewaskan Valencia 2-0 dalam aksi kedua separuh akhir di Mestalla, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, Barca yang mempertaruhkan gandingan Lionel Messi dan Luis Suarez di jentera serangan hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan tetapi sepakan percuma bintang Argentina itu ditumbuk keluar Jaume Domenech.

Tuan rumah juga berpeluang meletakkan diri di depan menerusi tandukan Rodrigo lima minit kemudian, namun ia sekadar singgah di palang gol.

Gol yang dicari-cari skuad kendalian Ernesto Valverde itu akhirnya tiba ketika separuh masa kedua berusia empat minit.

Pemain yang baru menyertai Barca dari Liverpool bulan lalu, Philippe Coutinho, bijak meloloskan diri untuk menyempurnakan hantaran lintang Suarez sebelum menewaskan Jaume, sekali gus meledakkan jaringan pertama peribadinya buat Barcelona.

Valencia berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-73 apabila Jose Gaya menyambung bola tandukan Carlos Soler, namun tindakan susulannya dinafikan oleh Jasper Cillessen.

Sebaliknya, pelawat menambah gol kedua sembilan minit kemudian menerusi pemain tengah, Ivan Rakitic.

Kesilapan Gabriel Paulista gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Suarez merampasnya, sebelum membuka ruang buat Rakitic melepaskan rembatan kaki kanan bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan, menyaksikan anak-anak buah Valverde menang dengan agregat 3-0 dan bakal melakukan perhitungan dalam final dengan Sevilla.