Thibaut Courtois memenangi Sarung Tangan Emas bagi anugerah penjaga gol terbaik dalam Piala Dunia 2018.

Penjaga gawang berkenaan memainkan peranan besar memacu Belgium ke peringkat separuh akhir untuk melakar kejayaan terbaik negaranya dalam temasya itu dengan menduduki tempat ketiga selepas mengalahkan England 2-0, kelmarin.

Tonggak Chelsea itu mengekalkan rekod bersih ketika berdepan Panama manakala England sebanyak dua kali, malah tampil mengagumkan dalam kemenangan ke atas Brazil, sekali gus mengetepikan Hugo Lloris dan Danijel Subasic.

Setelah dia disahkan memenangi anugerah itu, Courtois menulis di Twitter: "Salah satu penghormatan individu terbesar yang boleh anda capai sebagai penjaga gol! Saya amat berbangga!"

Hadiah berkenaan dianugerahkan kepada penjaga gol yang paling menyerlah dalam temasya Russia 2018 menerusi Kumpulan Kajian Teknikal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Manuel Neuer dari Jerman memenanginya pada 2014. Antara pemenang yang lain termasuk Iker Casillas, Gianluigi Buffon, Oliver Kahn, Fabien Barthez dan Michel Preud'homme.