Diego Costa akan menghadirkan pelbagai kejayaan buat Atletico Madrid selepas bersetuju untuk kembali menyertai skuad kendalian Diego Simeone, Januari ini.

Perkara itu disuarakan oleh bekas penyerang Chelsea, Andriy Shevchenko, yang yakin dengan kemampuan penyerang Sepanyol itu selepas sebelum ini meninggalkan Atletico untuk berhijrah ke Stamford Bridge pada tahun 2014.

Sepanjang tiga tahun bersama The Blues, Costa telah memenangi dua kejuaraan liga dan bagi Shevchenko, yang gagal melakukannya ketika beraksi buat Chelsea, dia optimis masa depan penyerang kelahiran Brazil itu lebih terjamin bersama Atletico.

"Terdapat begitu ramai pemain dan Costa berhak untuk meninggalkan pasukan.

"Dia menjalankan tugas dengan baik. Bersaing, menjadi pemenang, Costa pastinya seorang penyerang hebat apabila secara jujur mendedahkan mahu meninggalkan pasukan. Kini Chelsea bersetuju melepaskannya dan saya mengucapkan selamat maju jaya buat Costa.

"Costa mampu memenangi banyak kejuaraan bersama Atletico," kata Shevchenko.

Chelsea dilihat tidak lagi memerlukan khidmat Costa selepas mendapatkan seorang lagi penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, dari Real Madrid pada musim panas lalu dan Shevchenko menolak untuk membandingkan dua penyerang tersebut.

"Saya rasa anda tidak boleh membandingkan Costa dan Morata kerana mereka adalah dua pemain yang berbeza.

"Kebolehan Morata untuk menyesuaikan diri di Chelsea amat hebat. Dia menjaringkan gol dan persefahamannya dengan rakan sepasukan sesuatu yang luar biasa."