Lionel Messi terpaksa menelan 'kepahitan' selepas Colombia menambah kesengsaraan mereka.

Argentina -- finalis 2015 dan 2016 -- ditumbangkan Colombia 2-0 ketika membuka kempen Kumpulan B, Copa America di Salvador, pagi tadi.

Selepas separuh masa pertama, Argentina dikejutkan dengan jaringan pemain gantian, Roger Martinez dan Duvan Zapata, untuk skuad La Albiceleste itu tersungkur buat pertama kalinya dalam aksi pembukaan kejohanan itu sejak 1979.

Ketua pasukan Argentina, Messi -- yang dirantai kemas skuad kendalian Carlos Queiroz itu -- meratapi keputusan pertemuan tersebut.

"Kami pulang dengan kepahitan," kata Messi kepada pemberita dalam temu bual pasca-perlawanan itu.

"Dalam babak kedua, kami mempunyai peluang.

"Ia akan mengambil masa untuk kami menelan kekalahan ini tetapi ayuhlah kita lihat ke depan. Kami perlu memandang jauh dan terus bergerak.

"Kami tidak mahu memulakan kempen dengan cara sebegini tetapi kini kami tidak boleh berputus asa dan perlu terus berjuang."

"Dalam babak pertama, kami mengendurkan sedikit permainan dan lebih kerap bertahan.

"Namun, dalam separuh masa kedua, permainan kami benar-benar terbuka," kata Messi, yang hampir memecah kebuntuan dalam babak kedua tetapi tandukannya tersasar tatkala pintu gol sudah ternganga untuknya.

"Setiap kali tewas, kebiasaannya kami menanganinya dengan teruk. Sekarang, kami perlu memikirkan pertemuan dengan Paraguay."

Tambah Messi: "Kami perlu positif dengan perlawanan hari ini dan mula memikirkan tentang esok. Kami mempunyai begitu banyak peluang."

Argentina yang kali terakhir menjulang gelaran antarabangsa pada 1993 akan menyambung kempen mereka menentang Paraguay, Khamis ini.