Pengendali Chelsea, Antonio Conte, yakin pertahanannya, David Luiz, akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan tangan menjelang pertemuan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Atletico Madrid, minggu depan.

Pertahanan Brazil itu dilaporkan mengalami kecederaan pergelangan tangan selepas merempuh papan skrin iklan ketika menentang Arsenal pada hujung minggu lalu, sebelum dilayangkan kad merah akibat insiden dengan pertahanan, Sead Kolosinac.

Dia tidak beraksi ketika menewaskan Nottingham Forest 5-1 bagi aksi pusingan ketiga Piala Carabao dan bakal terlepas dua lagi aksi liga akibat penggantungan, namun Conte yakin pemain berusia 30 tahun itu akan turun dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang skuad kendalian Diego Simeone.

“Dia akan pulih. Luiz adalah pemain penting buat kami.

“Saya tahu apa yang berlaku di penghujung babak pertama ketika menentang Arsenal dan pastinya dia akan bersedia untuk turun menentang Atletico,” kata Conte.

Chelsea diundi bertemu Everton dalam pusingan keempat Piala Carabao selepas anak-anak buah Ronald Koeman menumbangkan cabaran Sunderland 3-0 dalam satu lagi aksi pusingan ketiga.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Anda tahu bahawa mereka adalah salah satu pasukan terbaik dalam liga tetapi kami sentiasa bersedia dalam setiap pertandingan yang kami sertai.”