Pengurus Chelsea, Antonio Conte, menggesa anak-anak buahnya agar segera memulihkan sentuhan penyudah selepas terikat tanpa jaringan dengan Arsenal dalam aksi separuh akhir pertama Piala EFL, awal pagi tadi.

Empat hari selepas sekadar berpuas hati dengan keputusan 0-0 ketika bertemu Norwich City dalam saingan Piala FA, Chelsea jelas buntu untuk menembusi gawang Gunners.

Penyerang utama, Alvaro Morata, kini sedang melalui kemarau jaringan dalam empat perlawanan manakala Andres Christensen pula melepaskan dua peluang keemasan menerusi tandukan dalam babak kedua.

"Kami melakukan 20 percubaan, mencipta peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak menyempurnakannya.

"Saya rasa kami harus lebih kemas dan agresif kerana jika anda bernasib baik, anda akan meraih keputusan seri dalam sesuatu perlawanan apabila tidak menjaringkan gol.

"Musim ini kami agak kurang bernasib baik. Kami gagal memanfaatkan banyak peluang dalam beberapa perlawanan. Bukan hanya penyerang tetapi semua pemain perlu bangkit," katanya.

Dalam masa sama, Conte meminta pelarasan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Cesc Fabregas dijatuhkan oleh Danny Welbeck tetapi pengadil perlawanan, Martin Atkinson, tidak melihat sebarang kesalahan.

Bagi Conte, Atkinson tidak memperuntukkan masa yang cukup apabila VAR digunakan.

"Sudah tentu anda perlu faham apabila VAR digunakan, masa tambahan permainan perlu lebih lama.

"Di Itali, kadangkala terdapat banyak perkara yang memaksa perlawanan dihentikan dan pengadil akan menambah masa sehingga lapan atau sembilan minit," katanya.