Antonio Conte berasakan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan menggalakkan penyokong Chelsea untuk bersorak menghampiri penghujung perlawanan yang dimenangi mereka 4-0 ke atas Manchester United, semalam.

Conte mengisyaratkan untuk penyokong setia Stamford Bridge meriuhkan keadaan selepas N'Golo Kante menyumbat gol keempat Chelsea dan dilihat terbabit dalam pertikaman lidah dengan Jose Mourinho berkaitan perkara itu sejurus perlawanan berakhir.

Pengurus berbangsa Itali itu mendakwa gesaannya itu adalah untuk menenggelami sorakan penyokong United di ruang tempat duduk penyokong pasukan pelawat, sambil mempertahankan pemain-pemainnya berhak mendapat sokongan penuh penyokong.

“Saya sedang mendengar sorakan kepada Manchester United yang sentiasa mengerah pasukan mereka. Dan selepas satu kemenangan hebat seperti ini, saya meminta penyokong kami untuk bertepuk tangan terhadap pemain-pemain kami di atas prestasi cemerlang mereka,” katanya kepada Sky Sports.

"Saya fikir ini sesuatu yang biasa. Semua pemain Chelsea berhak diberikan tepukan oleh penyokong.”

Conte juga memberitahu BBC: “Apabila ada perbualan sulit, ia harus dibiarkan sebagai sesuatu yang sulit. Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Jose,, dia seorang pengurus hebat dan banyak yang telah dimenanginya di sini.”

Chelsea hanya memerlukan 30 saat untuk mendahului menerusi Pedro, dengan Gary Cahill dan Eden Hazard menambah jaringan sebelum gol keempat oleh Kante.

Selepas tewas di tempat sendiri kepada Liverpool dan tunduk kepada Arsenal di tempat lawan, Conte nyata gembira menyaksikan pasukannya unggul dalam perlawanan besar seperti ini.

“Saya gembira dengan satu persembahan hebat. Kami bermula dengan amat baik, dengan intensiti tinggi dan menggerakkan bola dengan pantas, mencipta peluang untuk menjaringkan gol itu.

“Saya melihat komitmen pemain-pemain dalam latihan setiap hari dan mereka berhak kepada kemenangan ini,” katanya.

“Kami sedang meningkat, kami harus terus bekerja, kerana hanya dengan bekerja keras, kami mampu meningkat. Kami sedar perjalanan buat kami masih jauh tapi saya berpuas hati.

“Ia sangat penting selepas kekalahan kami kepada Arsenal dan Liverpool, ia sangat penting untuk memahami misi kami. Kami harus memandang kepada perlawanan berikut menentang West Ham (dalam saingan Piala EFL) dan melakukan persiapan untuk itu.”