Colombia tidak boleh lagi menyesali kekalahan 2-1 di tangan Jepun dalam aksi pembukaan Piala Dunia ketika menghadapi saingan penting menentang Poland dalam perlawanan kedua Kumpulan H, kata pemain tengah, Abel Aguilar.

Skuad bimbingan Jose Pekerman itu tampil dalam kejohanan ini sebagai pasukan pilihan kuat untuk menang tetapi Carlos Sanchez dibuang padang pada minit ketiga untuk memastikan permulaan yang menyedihkan mereka.

Keputusan 2-1 itu menyamai skor kekalahan Poland kepada Senegal, yang bermakna kedua-dua pasukan berada dalam kedudukan yang tidak menentu.

Senegal dan Jepun akan berentap tiga jam lebih awal dan keputusan seri dalam perlawanan itu bermakna salah satu pasukan, sama ada Colombia atau Poland, akan tersingkir.

Dan ketika Aguilar mengakui Colombia tidak mempunyai pilihan selain untuk menang, dia menegaskan bahawa skuad Pekerman itu tenang dan tidak mempedulikan mana-mana "drama".

"Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan ialah kami berharap dapat melakukan permainan sempurna esok, Colombia perlu menang untuk terus hidup," katanya kepada pemberita.

"Kami membuka saingan menentang Jepun, kami tidak boleh menyesal -- malangnya kami kalah tetapi kami tahu bahawa kami mempunyai dua perlawanan di depan yang memberi kami pilihan untuk mara dalam Piala Dunia.

"Dalam pasukan kebangsaan, tidak ada drama, kami semua bercakap senyap-senyap. Kami sedar bahawa kami tewas perlawanan yang sepatutnya boleh menang tetapi sekarang kami perlu melihat ke hadapan."

Pekerman dijangka akan mengubah sedikit persiapannya untuk menentang Senegal, dengan penyerang Sevilla, Luis Muriel, berkemungkinan akan digandingkan dengan Radamel Falcao dalam serangan.

Pekerman juga mungkin akan membawa James Rodriguez untuk kembali berada dalam kesebelasan utama bagi merangsang peluang Colombia.