"Layak ke Piala Asia dan memperbaiki ranking negara."

Itu pandangan pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, terhadap indeks petunjuk prestasi (KPI) yang wajar diletakkan kepada ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, yang bakal menerima kontrak lanjutan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Selasa ini.


Nasib Cheng Hoe akan diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang akan bermesyuarat minggu depan.

Ia pasti memberi kelegaan buat jurulatih berusia 51 tahun itu selepas kontraknya berakhir Isnin lalu.

Tatkala Cheng Hoe dijangka kekal membimbing skuad Harimau Malaya, Hasnizam berpandangan FAM perlu menetapkan KPI lebih tinggi buat bekas ketua jurulatih Kedah itu.

"Itu merupakan KPI yang bersesuaian untuk Cheng Hoe.

"Kualiti pemain sedia ada membuktikan Malaysia sepatutnya mampu layak ke Piala Asia.

"Dengan itu, keberanian Cheng Hoe akan diuji ketika menggabungkan pemain muda berkualiti dengan pemain senior untuk mencorakkan skuad kebangsaan yang menarik dan mantap," katanya.

Cheng Hoe, yang dilantik sebagai ketua jurulatih negara pada Disember 2017, berjaya mencapai KPI menerusi kemaraan ke pentas final Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Ia sememangnya tugas lebih mencabar buatnya tahun ini apabila skuad Harimau Malaya akan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 yang juga kelayakan Piala Asia 2023.

"Dengan keinginan yang ditunjukkan Cheng Hoe, beliau perlu mematuhi ketetapan yang telah diletakkan FAM.

"Sebagai seorang jurulatih profesional, beliau perlu mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani.

"Ia merupakan tugas penting yang perlu dilaksanakan bagi menentukan hala tuju skuad bola sepak kebangsaan," tambahnya.