Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mengakui ketumpulan penyudah dan kerapuhan benteng akhir menyebabkan kekalahan 0-1 kepada Singapura dalam Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Skuad negara harus mencatatkan kemenangan bagi menempah pertemuan dengan Oman yang sebelum itu membelasah Afghanistan 5-0.

Begitupun, anak buah Cheng Hoe gagal menampilkan aksi meyakinkan walaupun pemain seperti Matthew Davies dan Nor Azam Azih kembali memperkuatkan pasukan.

Ia menyaksikan beberapa peluang jaringan gagal dimanfaatkan jentera serangan tatkala pertahanan longgar mengekang asakan lawan.

Dan akhirnya gawang skuad negara dibolosi susulan pemain Singapura, Faris Ramli, bijak menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-82.

"Apabila kami turun beraksi, Malaysia kerap hilang bola, tidak memberikan tekanan dengan segara kepada lawan sementara gagal mengawal bola ketika melakukan serangan menyaksikan kami tewas," kata Cheng Hoe.

Sebaliknya, kejayaan menundukkan Malaysia dalam aksi yang berlangsung dalam suasana suram dengan jumlah penonton yang kecil itu sememangnya berharga buat skuad Singapura.

Ini kerana mereka hanya melakukan persiapan singkat untuk kejohanan ini selain mencatat kemenangan pertama di bawah bimbingan Nazri Nasir.

"Apabila anda berpeluang beraksi dalam perlawanan antarabangsa, ia merupakan peluang yang harus tidak dilepaskan. Kesabaran (diperlukan) dan cuba mengawal bola dengan sebaik mungkin. Ia telah membuahkan hasil untuk kami melakar kemenangan dalam perlawanan ini," kata Nazri.