Pengendali skuad bola sepak senior kebangsaan, Tan Cheng Hoe, lebih melihat kepada aspek positif di sebalik kekalahan 0-1 Malaysia kepada Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan antarabangsa, malam tadi.

Pertemuan di Stadium Hang Jebat, Melaka, itu menyaksikan skuad negara berdepan lawan yang mempunyai kualiti berbeza jika dibandingkan dengan kemenangan yang diraih ke atas Kemboja dan Sri Lanka sebelum ini.

Namun, ia bukan satu halangan apabila Malaysia menampilkan persembahan yang cukup baik, khususnya dalam babak pertama.

Beberapa peluang diperoleh, antaranya menerusi Norshahrul Idlan Talaha serta kapten pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, namun tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Bagi Cheng Hoe, aspek penyudah merupakan antara perkara yang akan diberikan perhatian dalam satu lagi aksi persahabatan menentang Maldives, 3 November depan, yang akan menjadi ujian terakhir sebelum memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2018.

"Kami sememangnya ketandusan pemain yang boleh menjaringkan gol.

"Apa yang positif adalah kami berjaya mencipta banyak peluang. Saya rasa lambat-laun jaringan itu pasti akan tiba," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, jurulatih Kyrgyzstan, Aleksandr Krestinin, berpandangan beberapa kesilapan yang dilakukan pasukannya memberikan ruang buat Malaysia menghasilkan peluang.

Dengan persiapan ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi tumpuan, Krestinin menganggap masih ada kekurangan perlu diatasi anak didiknya.

"Kami terlalu banyak memberikan peluang kepada lawan dalam aksi ini. Selepas ini, kami akan menentang Jepun dan itu dapat memberikan kami gambaran mengenai kemampuan pemain sedia ada," jelasnya.