Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, menghamburkan pujian buat pasukannya selepas menyaksikan mereka mengesahkan kedudukan ketiga dalam Liga Super susulan kejayaan membenam Terengganu 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

“Berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super adalah satu pencapaian membanggakan selepas beraksi dalam Liga Perdana musim lalu.

“Walaupun kekuatan kami tidak setanding pencabar-pencabar lain, tetapi pasukan ini menunjukkan prestasi cemerlang.

“Tahniah buat pemain yang sepanjang musim ini bekerja keras, mempamerkan kerjasama ibarat satu keluarga serta mencipta suasana harmoni dalam skuad Helang Merah.

“Sebagai jurulatih, saya berpuas hati dengan perkembangan positif ini dan berharap gabungan pemain-pemain muda, senior dan import terus dipertingkatkan pada masa hadapan.”

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah tidak berdepan masalah apabila menguasai sebahagian besar perlawanan dan mendahului pada minit ke-13 menerusi tandukan Thiago Augusto hasil hantaran Mohd Syazwan Zainon.

Penyerang dari New Zealand, Smeltz Shane Edward, menggandakan jaringan pasukan pelawat pada minit ke-62 selepas mudah menolak masuk hantaran pendek Thiago dari sebelah kiri.

Sepuluh minit sebelum tamat perlawanan, Thiago terus menjadi pemusnah Sang Penyu apabila gerakan solonya berjaya mengatasi pertahanan lawan sebelum menewaskan Sharbinee Allawee untuk gol ketiga Kedah.

“Persembahan yang cukup baik ditunjukkan malam ini (semalam) walaupun beberapa pemain utama direhatkan, antaranya Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi dan Bang Seung-Hwan.

“Malah, pemain-pemain yang diturunkan memberi impak yang besar kepada kemenangan ini kerana bukan mudah menentang Terengganu di tempat mereka.

“Keserasian dua penyerang (Shane dan Thiago) semakin terserlah dari satu perlawanan ke satu perlawanan, malah kombinasi mereka semakin mantap dengan jaringan demi jaringan.

“Persembahan mereka malam ini (semalam) cukup baik dengan keyakinan mereka terus membantu kami meneruskan momentum kemenangan.

“Begitu juga sumbangan pemain-pemain lain, terutamanya barisan pertahanan yang begitu berdisiplin,” tambahnya lagi.