Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, sedang dalam proses perbincangan untuk membawa masuk pertahanan AS Roma, Emerson Palmieri.

Perkara itu disahkan oleh ejen pertahanan kiri tersebut, Fernando Garcia, selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Stamford Bridge sejak beberapa bulan lalu dan pengendali The Blues, Antonio Conte, mahu menambah persaingan buat Marcos Alonso.

Sebelum ini, Chelsea dilaporkan cuba mendapatkan khidmat pemain Juventus, Alex Sandro, tetapi tuntutan harga yang diminta juara Itali itu membuat Conte mengundurkan diri, dan membuatkan Garcia yakin perpindahan ke England tidak mustahil.

"Masih belum ada sebarang pengesahan buat masa ini. Kami sedang berada pada fasa perbincangan dan banyak perkara perlu diteliti.

"Perpindahan ke England adalah satu kemungkinan. Ketika ini, kedua-dua kelab sedang berbincang dan kita akan ketahui sama ada kata putus akan diperoleh atau tidak.

"Jelas sekali Emerson mahu beraksi dalam saingan EPL dan dia mengidamkan untuk bekerjasama bersama Conte yang dianggap sebagai salah seorang pengurus terbaik dunia," kata Garcia.

Palmieri hanya beraksi sebanyak dua kali selepas kembali daripada kecederaan lutut pada Disember lalu tetapi melakukan 25 penampilan dalam saingan Serie A musim lalu.