CHELSEA 0 ARSENAL 0

Pertemuan dua kelab gergasi London, Chelsea dan Arsenal, berakhir hambar selepas sekadar seri tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir pertama Piala EFL di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Pengurus Gunners, Arsene Wenger, membuat keputusan untuk meletakkan bintang utama, Alexis Sanchez, di bangku simpanan selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City bulan ini.

Penyerang Perancis, Alexandre Lacazette, hampir mengejutkan penyokong tuan rumah ketika permainan berusia 21 minit apabila bijak melepasi perangkap ofsaid Chelsea untuk menyambut bola hantaran Jack Wilshere, namun percubaannya melewati palang gol.

The Blues turut menguji kubu pelawat yang dikawal Petr Cech menerusi Victor Moses yang melepaskan rembatan kaki kiri dua minit kemudian tetapi bekas penjaga gol Chelsea itu menafikan percubaan tersebut.

Percubaan N'Golo Kante pada minit ke-36 juga sekadar melewati palang gol Arsenal, sebelum tandukan jarak dekat Cesc Fabregas seminit sebelum tamat babak pertama didakap kemas oleh Cech.

Kemasukan Sanchez yang menggantikan Lacazette pada minit ke-65 jelas tidak memberikan kesan besar kepada keseluruhan permainan, malah kubu Arsenal hampir dibolosi seminit kemudian apabila Moses sekali lagi melakukan percubaan, namun Shkodran Mustafi pantas menghalang bola daripada memasuki gol tatkala Cech sudah tertewas.

Pengendali Chelsea, Antonio Conte, membawa masuk Willian menggantikan Danny Drinkwater pada minit ke-68, namun percubaan pemain sayap Brazil itu dari luar kotak penalti tujuh minit kemudian sekadar tepat ke dakapan Cech.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga aksi tamat, menyaksikan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan untuk mencipta kemenangan dalam aksi kedua di Stadium Emirates pada 24 Januari ini.