Masa depan Neymar terletak di Paris Saint-Germain (PSG) dan cerita yang mengaitkan penyerang itu dengan perpindahan ke Real Madrid adalah "permainan media", kata Javier Pastore.

Pemain Brazil itu dilaporkan tidak gembira di ibu negara Perancis itu dan bersedia meninggalkan PSG selepas menjadi pemain termahal dunia.

Kepulangan ke Barcelona juga telah disebut-sebut untuk Neymar -- yang pulih daripada patah kaki -- setahun selepas dia meninggalkan Camp Nou dalam perpindahan bernilai €222 juta (RM1 bilion).

Namun, Pastore mengulangi komen yang dibuat rakan sepasukan PSG, Marquinhos, pada Januari lalu yang mengatakan media telah memanipulasi cerita yang mengaitkan Neymar dan Madrid.

"Saya tidak fikir dia akan pergi," kata Pastore kepada stesen radio Sepanyol, Onda Cero. "Saya melihat ia lebih kepada permainan media berbanding keinginan sebenarnya.

"Apabila Neymar tiba, dia sangat bersemangat. Kelab ini bukan lagi Barcelona dan ia tidak sama bermain di Sepanyol berbanding di stadium (Ligue 1) ini," katanya.

Walaupun Pastore percaya Neymar akan menjadi tonggak terbaik PSG musim depan, pemain antarabangsa Argentina itu berpendapat dia akan berpindah keluar selepas memainkan peranan kecil di bawah jurulatih Unai Emery.

"Kitaran saya di Paris akan berakhir, saya menyedarinya," tambah Pastore. "Kami akan melihat masa depan saya, saya masih mempunyai kontrak setahun.

"Saya tidak mempunyai idea yang jelas lagi. Saya tidak tahu bagaimana ia akan berakhir. Saya akan memberi tumpuan pada akhir musim ini, untuk menamatkan tahun ini dengan baik. Kami perlu cuba memenangi liga dan piala.

"Sudah tentu Sepanyol adalah pilihan kerana bahasa dan gaya bermain," ujarnya.

Rakan sepasukan PSG, Angel Di Maria, mengatakan akan ada "perubahan besar" di kelab itu bagi musim depan, manakala pertahanan, Thomas Meunier, memberitahu pemberita bahawa dia menjangka Emery akan meninggalkan pasukan.

Dan Pastore menyokong rakannya, dengan Emery berada di bawah tekanan selepas PSG kalah kepada Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah walaupun pasukannya berada di landasan untuk kejayaan 'treble' domestik.

"Saya rasa ia akan menjadi musim di mana terdapat banyak perubahan," kata Pastore. "Musim ini, (Pengarah Sukan Antero) Henrique datang dan dia tidak dapat melakukan apa yang dia mahukan. Dia memerlukan masa untuk mengenali pasukan.

"Akan ada perubahan. Ramai pemain yang akan menamatkan kontrak. Kelab mesti mula memutuskan apa yang harus dilakukan dengan pemain ini," tambahnya.