AEK ATHENS 2 CELTIC 1
(AEK Athens mara dengan agregat 3-2)

Harapan Celtic untuk mencapai peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) berkecai setelah tumbang 1-2 di Greece awal pagi tadi, secara tidak langsung menyaksikan AEK Athens meraih kemenangan agregat 3-2 lalu meletakkan masa depan Brendan Rodgers dalam keraguan.


Timbul desas-desus sebelum perlawanan bahawa bekas jurulatih Liverpool, Rodgers, mungkin berniat untuk angkat kaki sekiranya Celtic gagal meneruskan kelayakan dan biarpun Scott Sinclair berupaya menyumbat gol, usaha kelab Scotland itu belum memadai untuk melepasi rintangan juara Greece itu.

Keputusan seri 1-1 dalam pertemuan pertama bermakna Celtic perlu berhempas-pulas di Athens, namun pertahanan longlai memberi ruang buat AEK pada awal perlawanan -- Rodrigo Galo meledak gol dari tengah pintu gol pelawat selepas menerima umpanan ke belakang Niklas Hult pada minit keenam.

Pasukan tuan rumah kemudian agak goyah dalam tempoh setengah jam permainan tatkala Celtic mula mengambil alih permainan dan kelihatan lebih mengancam -- Leigh Griffiths gagal menyudahkan hantaran silang Callum McGregor, 10 minit sebelum rehat.

Bagaimanapun, Celtic terus goyah ketika berdepan serangan balas dan ia bukan lagi satu kejutan besar ketika AEK mendapat gol kedua pada minit ke-50 -- Marko Livaja menampan mudah dari jarak dekat setelah Vassilis Lambropoulos menyambut sepakan percuma bekas pemain Inter itu.

Pelawat terpaksa mempertaruhkan ramai pemain di barisan hadapan dan berhasil merapatkan jurang ketika permainan berbaki 12 minit melalui tandukan Sinclair tetapi AEK terus mempertahankan kedudukan itu sehingga wisel penamat.

Dengan itu, Celtic bakal bersaing dalam Liga Europa dan mereka akan menghadapi sama ada Suduva Lithuania atau Spartaks Jurmala dari Latvia sementara AEK akan menghadapi MOL Vidi dalam pusingan akhir kelayakan UCL.