Pemain tengah Real Madrid, Casemiro, menyifatkan rakan sepasukannya, Isco, patut kekal bersama pasukan itu dalam tempoh yang lama.

Tatkala pemain-pemain utama seperti Luka Modric, Gareth Bale dan wira Liga Juara-Juara Eropah, Cristiano Ronaldo, direhatkan, Isco membarisi kesebelasan utama ketika menewaskan bekas pasukannya, Malaga, 2-1 awal pagi tadi.

Isco membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma sebelum membuka ruang buat Casemiro untuk mencatat gol kemenangan, membuatkan pemain tengah Brazil itu berasakan rakannya itu harus kekal di Santiago Bernabeu dalam jangka masa panjang.

"Dia terbukti seorang pemain yang sangat penting buat Real Madrid," kata Casemiro.

"Isco sangat hebat dan diharapkan dia kekal lama di sini."

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Zinedine Zidane itu naik ke tangga ketiga liga mengatasi Valencia, sekali gus merapatkan jurang mata dengan pasukan tempat kedua, Atletico Madrid, kepada empat mata.

"Kami sedar aksi dengan Malaga bakal sukar tetapi mereka tidak beraksi dengan baik."