Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, secara berjenaka berkata carian "European Nights" atau "Aksi malam Eropah" akan menyaksikan Liverpool menduduki tangga teratas.

The Reds akan berdepan Real Madrid pada Sabtu ini dengan harapan dapat menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah atau Piala Eropah buat kali keenam.

Laluan Liverpool untuk ke final menyaksikan mereka mengatasi Manchester City dan AS Roma, membuatkan pengendali dari Jerman itu berpendapat Anfield sebagai sebuah tempat yang sesuai dengan kejayaan besar.

"Aksi malam Eropah begitu istimewa," katanya.

"Saya rasa jika anda menggunakan Wikipedia atau Google, jawapannya pasti Anfield. Hebat untuk menjadi sebahagian daripadanya."

Liverpool dilihat sebagai pasukan bukan pilihan apabila berdepan Madrid yang menyasarkan trofi ketiga berturut-turut, namun Klopp yakin semangat anak-anak buahnya mampu menghalang pengalaman yang dimiliki skuad kendalian Zinedine Zidane itu.

"Saya tidak mahu melalui perlawanan itu sekarang kerana mereka jauh lebih berpengalaman. Itu adalah fakta.

"Jika terdapat jualan pengalaman, mereka patut menjualnya kerana ia mampu membuatkan mereka lebih kaya berbanding sekarang.

"Terdapat beberapa perkara dalam bola sepak dan saya mengetahuinya."

"Pengalaman adalah satu kelebihan tetapi anda boleh menyamainya melalui usaha keras, disiplin dan kemahuan.

"Sebagai sebuah pasukan, Madrid jelas amat kuat dan itulah realiti.

"Namun, ini adalah bola sepak dan kami berpeluang, sebab itu saya mahu pemain-pemain saya mencubanya. Kami mahu ke sana dan bermain di tahap dimana membuatkan ramai orang berfikir ia tidak mustahil buat kami.

"Kami telah menjalankan tanggungjawab kami dalam semua perlawanan di sepanjang kempen dan kini, kami harus melakukannya sekali lagi terhadap sebuah pasukan yang sangat kuat," katanya lagi.