Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, menyifatkan dirinya tidak perlu berhenti beraksi buat pasukannya sambil mengingatkan pengkritik agar mencari koleksi jaringannya di laman Google.

Ronaldo menjaringkan satu gol ketika menentang Tottenham Hotspur tetapi tidak mampu menghalang Los Blancos daripada mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam masa empat hari.

Dia menjaringkan lapan gol daripada 12 perlawanan musim ini tetapi hanya mencatat satu gol dalam saingan LaLiga, yang menyaksikan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona.

"Saya sentiasa tenang. Hari ini, aksi yang bagus tidak akan diiktiraf anda semua. Apa yang anda fikirkan hanya jaringan dan gol.

"Statistik saya, saya tidak perlu menerangkannya. Anda boleh lihat di Google, taipkan "koleksi gol Cristiano Ronaldo" dan segala-galanya akan boleh anda saksikan.

"Saya langsung tidak risau," kata Ronaldo.

Ronaldo kini terikat bersama Madrid sehingga 2021, namun ada yang berpendapat pemain berusia 32 tahun itu memerlukan kontrak baru.

"Saya tidak akan berhenti kerana semuanya baik.

"Kontrak saya masih berbaki empat tahun dan saya tidak mahu berhenti," tambahnya.