Pemain legenda Brazil, Cafu, percaya gergasi Amerika Selatan itu telah membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan mantap dunia.

Pasukan kendalian Tite itu kini mendahului kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan dengan kelebihan empat mata selepas merekodkan lapan kemenangan dalam 12 perlawanan.

Situasi itu hadir selepas skuad Samba itu bergelut di bawah bimbingan Dunga yang menyaksikan mereka terkandas di peringkat kumpulan kempen Copa America Centenario dan sekadar mara ke suku akhir, setahun sebelum itu.

Cafu yang mengecapi kejayaan Piala Dunia sebanyak dua kali berkata pemulihan Brazil di bawah asuhan Tite sangat besar.

"Pasukan Brazil mampu memberikan tentangan hebat dalam situasi dan tempat yang adil untuk berdepan mana-mana pasukan kebangsaan," ujar beliau kepada Omnisport.

"Kami melalui tempoh sukar bersama Dunga.

"Selepas itu, kami berhasil memperagakan bola sepak sejati menerusi Tite dengan pencapaian yang hebat."

Brazil akan menyambung kempen Kelayakan Piala Dunia berdepan Uruguay dan Paraguay, Mac nanti.