Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, mempertahankan cadangan untuk memendekkan tempoh jendela perpindahan dan menamatkan segala proses perpindahan sebelum bermulanya musim baru.

Cadangan itu dilihat bakal menerima sokongan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas beberapa pemain berprofil tinggi seperti Alexis Sanchez, Diego Costa dan Philippe Coutinho telah dikejar beberapa pasukan tatkala aksi liga sudah bermula.

"Saya menyedari bahawa wujud perbincangan di sekitar Eropah untuk memendekkan tempoh jendela perpindahan dan kami mengikuti perkembangan tersebut.

"Bagi saya, ia bukan sesuatu yang bagus apabila seseorang pemain beraksi untuk sebuah pasukan apabila liga domestik bermula dan kemudian berhijrah ke pasukan lain sebelum jendela perpindahan ditutup.

"Tempoh itu terlalu panjang dan saya menyokong jika ia dipendekkan," kata Ceferin.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, baru-baru ini mahu proses perpindahan ketika Januari dimansuhkan selepas melihat beberapa pemain sering dikaitkan dengan pasukan lain.

"Pemain-pemain yang tidak berjaya keluar pada Oktober akan mula memikirkan ke mana hala tuju mereka pada Januari dan itu bukan sesuatu yang menyenangkan pihak tertinggi kelab.

"Saya percaya kita harus mewujudkan elemen kesopanan. Semua orang merungut ia sudah menjadi melampau tetapi kita boleh mengusahakan sesuatu. Kita mempunyai tanggungjawab di dalam permainan," ujar Wenger.