Sergio Busquets enggan membandingkan Barcelona di bawah kendalian Ernesto Valverde dengan Quique Setien selepas The Catalans merakamkan kemenangan di bawah kendalian pengurus baru itu.

Barca kembali ke puncak LaLiga dengan kemenangan 1-0 ke atas Granada di Nou Camp semalam.

Tuan rumah itu mendominasi lawan sepanjang permainan, namun gagal memecah benteng ampuh Granada sehinggalah Lionel Messi meledak gol pada minit ke-76.

Setien menggunakan formasi 3-4-3 yang menyaksikan kawalan permainan memihak Barca serta memberikan tekanan kepada pasukan lawan -- gaya permainan yang diterapkan oleh Johan Cruyff dan Pep Guardiola berbanding Valverde, yang dipecat bulan ini selepas tewas kepada Atletico Madrid dalam aksi Piala Super Sepanyol.

Busquets berpuas hati dengan persembahan pasukan, namun enggan membandingkan corak permainan di antara Setien dan Valverde, yang kehilangan kepercayaan penyokong dan kelab kerana lebih berhati-hati dalam percaturannya.

"Kami adalah pasukan yang ampuh. Kami mengawal sebahagian perlawanan ini, mereka hanya melakukan sedikit percubaan," katanya.

"Benar kami bergelut apabila mengambil pendekatan untuk berdepan.

"Ia bukanlah tentang perbandingan, setiap jurulatih memiliki gaya tersendiri. Anda dapat melihat apa yang diminta Setien daripada kami. Kami tidak akan mendedahkannya.

"Kami sangat gembira dengan Valverde dan kami juga turut gembira dengan Setien."

Setien turut menerima sambutan positif penyokong di Nou Camp kerana membawa pemain akademi, Riqui Puig, yang tidak berpeluang untuk beraksi di bawah kendalian Valverde.

Pemain berusia 20 tahun itu beraksi cemerlang dan Busquets berharap ia hanyalah permulaan buat pemain tengah itu.

"Banyak lagi pengalaman yang perlu diraih oleh Puig tetapi dia memiliki potensi untuk menjadi lebih berkualiti."

Barca kini berkongsi mata dengan Real Madrid dengan 43 mata selepas 20 perlawanan.



Editor: Ammar Hakim