Neymar berkata Brazil menarik perhatian kapten Argentina, Lionel Messi, dan ramai lagi pemain di sebalik rentak kemenangan mereka.

Brazil memenangi lapan perlawanan berturut-turut sejak Tite menggantikan Dunga selepas Copa America Centenario tahun lalu untuk menduduki tangga teratas dalam kempen kelayakan Piala Dunia zon CONMEBOL.

Neymar menjadi sandaran ketika Brazil membelasah Uruguay 4-1 dalam pertembungan dua pasukan teratas minggu lalu untuk menjarakkan kelebihan kepada tujuh mata dan pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan ia dikagumi rakan sepasukan Barcelona.

"Bukan sahaja menarik perhatian (Lionel Messi). Pasukan Brazil turut menarik perhatian ramai, kerana kami adalah sebuah pasukan yang bermain bola sepak dengan benar-benar baik," kata Neymar kepada pemberita.

"Kami adalah satu pasukan baik, yang cuba bermain bola sepak yang baik. Apabila pasukan dengan kualiti seperti ini, ia sukar untuk dikalahkan. Itulah yang menangkap perhatian semua orang."

Brazil kembali beraksi dalam laluan ke Russia 2018, dengan menjadi tuan rumah kepada Paraguay di Sao Paulo, awal pagi esok.

Neymar akan memakai lilitan kapten untuk perlawanan tersebut dan jurulatih, Tite, memuji bintang Brazil itu, yang meletak jawatan sebagai ketua pasukan selepas mengetuai negara untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

"Dia layak untuk menjadi kapten," kata Tite. "Dia seorang pemimpin teknikal.

"Dia seorang pemain yang telah tampil dengan kematangan tersendiri dengan siri tekanan yang kadang-kadang melampaui batas."