RB LEIPZIG 1 BAYER LEVERKUSEN 4

Satu gol dan dua bantuan jaringan daripada Julian Brandt membolehkan Bayer Leverkusen menewaskan RB Leipzig 4-1 awal pagi tadi, sekali gus meraih peluang untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.


Beraksi di tempat lawan, Leverkusen bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan lawan apabila Marcel Sabitzer melepaskan rembatan kaki kanan untuk menyambut bola tandukan Yussuf Poulsen, yang memberikan skuad kendalian Ralph Hasenhuttl itu kelebihan satu gol.

Usaha Leverkusen untuk mengikat kedudukan menemui jalan buntu apabila setiap serangan dipatahkan oleh benteng tuan rumah yang diketuai oleh Willi Orban dan Dayot Upamecano.

Namun, keampuhan barisan pertahanan Leipzig akhirnya lebur seminit sebelum tamat babak pertama selepas pemain muda berusia 18 tahun, Kai Havertz, menyudahkan hantaran Leon Bailey melalui sepakan kaki kiri menewaskan Peter Gulacsi.

Bersambung dalam separuh masa kedua, Leverkusen hanya memerlukan enam minit untuk berada di depan apabila Brandt mengambil kesempatan hasil kesilapan pertahanan tuan rumah untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum Panagiotis Retsos menyambut sepakan percuma Brandt bagi melebarkan jaringan buat pelawat pada minit ke-56.

Aksi cemerlang Brandt diteruskan di Red Bull Arena apabila melepasi halangan Upamecano sebelum membuka ruang buat penyerang, Kevin Volland, menjaringkan gol keempat pada minit ke-69 dan kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu membolehkan Leverkusen naik ke tangga keempat Bundesliga dengan 48 mata sementara Leipzig jatuh ke tangga keenam dengan 46 mata.