Pertemuan dengan Bayern Munich di Signal Iduna Park esok tepat pada masanya, jelas pengendali Borussia Dortmund, Peter Bosz.

Dortmund melalui permulaan yang cemerlang dalam saingan Bundesliga manakala Bayern bergelut ketika di bawah kendalian Carlo Ancelotti, sebelum pengurus berbangsa Itali itu digantikan oleh bekas pengendali, Jupp Heynckes.

Skuad kendalian Bosz itu kini menghadapi kemarau kemenangan selepas gagal meraih tiga mata dalam tiga aksi terakhir liga sebelum diikat 1-1 oleh Apoel, sekaligus menyukarkan laluan mereka di peringkat Eropah.

Situasi itu membuatkan Bosz berasakan pertemuan dengan Bayern yang kini gah di puncak liga datang pada waktu yang tepat untuk mereka mendapatkan tiga mata.

"Mungkin Bayern tiba tepat pada masanya. Kami mampu mengubah keadaan dengan kemenangan.

"Dalam beberapa minggu, kami sedikit tidak bernasib baik dan gagal beraksi pada tahap 100 peratus.

"Keputusan telah berubah dan lawan telah menyaksikan bagaimana kami bermain. Kini, kami perlu melakukan perubahan," kata Bosz.

Bekas pengendali Ajax itu berdepan kritikan selepas tetap menggunakan formasi 4-3-3, namun baginya, ia perkara biasa.

"Di Dortmund, sentiasa ada tekanan. Ia bertambah apabila anda tidak menang dalam beberapa perlawanan berturut-turut.

"Kami memerlukan tekanan itu tetapi harus beraksi dengan baik di bawah tekanan.

"Saya telah melalui perkara sebegini sebelum ini. Ia menjadi satu isu apabila keputusan positif gagal diraih dan pemain-pemain tidak dapat menjaringkan gol," tambahnya.