GENOA 0 AC MILAN 2

Gianluigi Donnarumma mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sepasukannya, Gonzalo Higuain, berikutan penyerang AC Milan itu semakin hampir ke Chelsea.


Higuain tidak disenaraikan dalam skuad Milan dalam kemenangan 2-0 di Genoa awal pagi tadi, dengan pengurus, Gennaro Gattuso, menganggap fokus bekas pemain Juventus itu sudah berada di tempat lain.

Kesepakatan untuk membawa pemain antarabangsa Argentina itu ke Stamford Bridge masih belum dimuktamadkan, namun dia kelihatan mungkin telah memainkan peranan terakhirnya bersama Milan.

Donnarumma, yang kerap diuji dalam kemenangan kempen Serie A di Stadio Luigi Ferraris itu, tidak pasti mengapa Higuain mahu berpindah selepas hanya enam bulan tiba sebagai pemain pinjaman.

"Jika Higuain sudah membulatkan tekad, mesti ada sebabnya. Tetapi dia adalah rakan saya dan saya berharap semuanya berjalan lancar untuknya," kata Donnarumma kepada Sky Sport Italia.

Fabio Borini dan Suso kembali dalam kesebelasan utama Milan berikutan kekalahan 0-1 kepada Juventus dalam saingan Supercoppa Italiana minggu lalu dengan masing-masing menyumbangkan gol.

Borini membuka tirai jaringan dengan sentuhan dari jarak dekat sebelum Suso menyempurnakan peluang di penjuru pintu gol pada lewat perlawanan untuk Milan melonjak ke tangga keempat liga selepas gagal melakukannya dalam dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

Donnarumma mengakui Milan bermula dengan rentak perlahan ketika berdepan Genoa. Penjaga gol berusia 19 tahun itu, bagaimanapun, gembira kerana pasukannya kembali menyambung kempen Serie A mereka dengan tiga mata.

"Kekalahan Supercoppa melukakan tetapi objektif kami adalah mengintai kedudukan keempat dan kini kami berada di sana. Kami perlu terus memberi fokus kepada perlawanan yang berikutnya, perlawanan ini sudah berlalu," katanya.

"Ia bukan permulaan yang baik, namun kami mempunyai kesungguhan dan itu adalah perkara yang paling penting. Kami bekerja keras dan kualiti kami muncul dalam usaha memenangi perlawanan yang sukar.

"Perjuangan masih lagi panjang tetapi kami akan melakukan segala yang terdaya untuk mencapai matlamat kami."

Perjuangan Milan akan diteruskan tanpa Higuain, namun penolong pengurus, Luigi Riccio, berharap pemain lain -- seperti Patrick Cutrone -- dapat menggalas tanggungjawab itu.

"Saya mahu menekankan tentang persembahan hebat Patrick Cutrone dalam Coppa Italia, Supercoppa dan hari ini," kata Riccio.

"Dia luar biasa dalam mencari ruang untuk menyerang, dia mengucar-kacirkan pertahanan Genoa dan bekerja keras untuk pasukan."