Leonardo Bonucci menafikan khabar angin mengatakan dia bakal meninggalkan AC Milan ketika jendela perpindahan akan datang.

Pertahanan berusia 31 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Dia bakal terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua berturut-turut sekiranya kekal di San Siro selepas Milan sekadar menamatkan saingan Serie A di tangga keenam pada musim 2017/18.

Bagaimanapun, benteng utama Rossoneri itu mendedahkan dirinya tidak bercadang meninggalkan pasukan yang disertai dari Juventus kira-kira 12 bulan lalu.

"Tiada sebarang masalah buat saya di Milan," kata Bonucci.

"Saya berharap agar spekulasi itu dapat ditamatkan dan kami dapat membina sesuatu yang penting.

"Kami menyasarkan untuk kembali ke Liga Juara-Juara Eropah dan bersaing untuk mendapatkan objektif yang lebih besar," katanya.

Bonucci telah melakukan 51 penampilan buat Milan dalam musim pertamanya bersama Rossoneri dan menyumbat dua gol.