Ikon Sukan Olimpik, Usain Bolt, tidak lagi mengejar impian untuk bergelar pemain bola sepak profesional, demikian disahkan ejennya.

Bolt menjalani tempoh percubaan bersama Borussia Dortmund tahun lalu sebelum mengambil langkah serupa dengan kelab Australia, Central Coast Mariners, Ogos lalu.

Pelari pecut itu meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Macarthur South West United yang menimbulkan cadangan bahawa dia akan ditawarkan kontrak oleh kelab Liga-A berkenaan.

Bagaimanapun, tempoh Bolt dengan pasukan itu berakhir November lalu selepas dia tidak bersetuju dengan syarat kontrak yang ditawarkan Mariners.

Bolt, peminat Manchester United, turut menolak peluang untuk menyertai kelab Malta, Valletta, sambil berkata dia mempunyai beberapa tawaran lain.

Namun, semalam, Ricky Simms selaku ejennya mendedahkan bahawa kerjaya bola sepak atlet berusia 32 tahun itu sudah berakhir.

"Usain tidak lagi memburu kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional," kata Simms dalam satu kenyataan ringkas kepada Omnisport.

Bolt merupakan salah seorang atlet hebat sepanjang zaman setelah meraih pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter dalam tiga temasya Sukan Olimpik berturut-turut.