BULGARIA 2 BELANDA 0

Ketua jurulatih Belanda, Danny Blind, mengakui dia perlu memikirkan kedudukannya selepas menyaksikan kekalahan 2-0 kepada Bulgaria dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Vasil Levski, awal pagi tadi.

Dengan kecederaan menimpa pemain pertahanan pilihan, Virgil van Dijk, Jeffrey Bruma dan Stefan de Vrij, Blind memilih pemain berusia 17 tahun Ajax, Matthijs de Ligt, untuk membuat penampilan pertama di bek tengah bersama Bruno Martins Indi.

De Ligt dipersalahkan untuk gol pembukaan awal daripada Spas Delev sebelum tandukan lemah menghadiahkan gol kedua buat penyerang Bulgaria itu.

Blind menggantikan De Ligt pada separuh masa pertama tetapi pada masa itu permainan sudah di luar kawalan Oranje, yang jatuh ke tangga keempat Kumpulan A dan berada dalam bahaya terlepas kejohanan utama kedua berturut-turut selepas gagal layak ke Euro 2016.

Dengan Blind semakin di bawah tekanan, jurulatih itu mengaku bertanggungjawab terhadap episod terbaru dalam sejarah suram Belanda sejak kebelakangan ini.

"Prestasi kami sangat buruk, ia jelas," katanya kepada NOS. "Saya tidak tahu mengapa kami bermula dengan buruk.

"Kami tidak mencipta peluang. Saya menyalahkan diri saya sendiri.

"Ia pengalaman yang tidak baik untuk dimulakan De Ligt tetapi itu pengalaman yang lalu. Ini adalah tanggungjawab saya.

"Sama ada saya masih akan membimbing pasukan? Saya perlu fikir mengenainya. Saya tidak berputus asa. Saya amat kecewa, terutamanya kerana saya mempunyai perasaan yang baik mengenai perlawanan ini.

"Ia masuk akal bahawa saya meletakkan diri saya di hadapan cermin."